.::Ikutilah Baginda, Hidupkan Pasti Bererti::.
Rasulullah Dalam Turun Naik Hidup Kita~
Kadang-kadang apabila kita fikir kita kesunyian tiada berbapa atau beribu,
ingatlah baginda Nabi Muhammad s.a.w yang semenjak kecil hidup yatim dan piatu,
namun, baginda tetap tabah, tiada sunyi bersama Allah.
Kadang kala apabila kita rasa kesedihan apabila dibenci manusia atas kebaikan yang kita lakukan,
kenangkanlah baginda Rasulullah s.a.w di mana ada manusia sanggup membunuhnya kerana kebenaran yang disampaikan,
namun, baginda tetap tiada duka kerana apa yang dilakukan adalah kerana-Nya.
Andai kita hiba kerana kemiskinan dan kesempitan hidup kita,
lalu hayatilah kehidupan Rasulullah yang melalui detik-detik getir mengorbankan seluruh jiwa dan hartanya untuk agama,
namun, baginda tiada pernah bersedih atas itu, sebaliknya selalu merasakan kebahagiaan iman dalam hatinya.
Jika diri merasa sedih atas ujian yang menimpa, ingatlah orang lain yang menghadapi ujian lebih berat daripada kita.
Allah membawa insan terpilih ini ke dunia; Muhammad Ibn Abdullah sebagai teladan dan contoh dalam setiap aspek kehidupan.
Insan yang tiada pernah bersungut atas ujian, bahkan sentiasa bahagia dan bersyukur pada-Nya.
Insan yang pernah jua mengalami kehilangan insan-insan tercinta; ibu, bapa, datuk dan isteri tercinta, Khadijah a.s, tetapi susurilah sirahnya. Nescaya akan didapati bagindalah insan berhati perkasa.
Manusia Paling Berpengaruh Dalam Dunia
Baginda melalui detik sukar dalam kehidupan dengan darah dan air mata bersama keluarga dan para sahabat.
Kini, risalah Iman dan Islam itu akhirnya sampai kepada kita. Mungkin kerana warisan atau hidayah-Nya.
Jika Muhammad Ibn Abdullah dikatakan sebagai 'The Most Influential Man in History' oleh penulis-penulis Barat seperti dicoret oleh Thomas Carlyle (1841) dan Michael Hart pada tahun 1978, mengapa ia tidak mempengaruhi seluruh dan sepenuhnya hidup kita sebagai Muslim hari ini?
"Barangsiapa mengikuti sunnahku, maka dia mencintaiku, barangsiapa mencintaiku, maka dia akan bersamaku di syurga."
(Hadith)
Lalu, mari kita soalkan diri kita hari ini, sudah layakkah pertemuan kita dengan baginda tercinta dan yang dirindui ini nanti di Syurga?
~Tidak cukup dengan kata-kata, tetapi ia perlu pembuktian pada seluruh amal kehidupan~
Tidak ada komentar:
Posting Komentar