Senin, 06 Februari 2012

Sejengkal Demi Sejengkal, Sehasta Demi Sehasta...



"Nabi saw pernah bersabda:

“Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.”

Sahabat bertanya:

"Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”

Nabi saw menjawab:

“Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” (Hadith Riwayat Muslim)


Lihatlah sekeliling kita. Hampir semua cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah menyerap masuk ke dalam kehidupan masyarakat kita. Cara kita menyapa saudara kita, fesyen berpakaian kita, kehidupan berumahtangga kita, cara kita berinteraksi dan cara kita berfikir telah hampir-hampir sama dengan mereka. Atau mungkin sudah sama dengan mereka?!!

Media telah berperanan dengan sangat cemerlang dalam mengubah sedikit demi sedikit masyarakat kita sejak puluhan tahun lamanya. Idea Yahudi dan Nasrani telah mencorak luar dan dalam jiwa kita. Televisyen telah menjadi alat yang paling efisyen merubah tanggapan dan mengelirukan minda ummat. Yang salah pada pandangan agama diperdanakan lalu menjadi paradigma. Yang benar pada pandangan agama dituduh dengan pelbagai label negatif. Lalu, tersenyumlah si al-Masih ad-Dajjal. Fitnahnya semakin menjadi. Fitnahnya semakin tersebar. Memang dia pengeliru hebat akhir zaman.


Mana rancangan televisyen yang apabila barat mengadakannya, televisyen kita tidak mengikutnya? Hampir semua program rancangan televisyen yang dicipta Yahudi dan Nasrani ditiru lalu dicorakkan dengan versi tempatan. Dari rancangan berita, dokumentari, hiburan, kanak-kanak dan terkini program-program rancangan realiti memenuhi menu hidangan mata dan minda masyarakat kita.

Ya, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta telah kita tiru mereka. Kini ramai sudah berada hampir dengan lubang sempit yang kotor, malah ada yang sudah bergelumang di dalamnya!!! Na`udzu billahi min dzalik!

Apabila manusia berkiblatkan Yahudi & Nasrani...

Si Iblis dan si Dajjal tidak akan berpuas hati selagi semuanya belum mereka tarik. Lalu diusaha dan dihias pula berbagai-bagai program yang tidak jelas akan kesesatannya agar lebih ramai turut serta sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta rapat kepada mereka. Maka lahirlah program-program realiti, karnival-karnival, pesta-pesta, sambutan tahun baru dan lain-lain seumpamanya yang dihiaskan serta disulam dengan unsur-unsur agama.

Cuba fikir sejenak. Perlukah kita ummat ISLAM akan program-program seperti ini pada peringkat awalnya? Perlukah kita ambil nilai-nilai mereka, sedangkan nilai-nilai yang ditinggalkan Nabi saw belum kita ambil sepenuhnya lagi?

Walaupun tidak dinafikan mungkin program-program ini bermunfa'at dalam memberikan alternatif kepada program yang lebih merosakkan, namun secara peribadi tidak akan mengizinkan orang-orang yang kita sayangi menyertai program-program sebegini. Kita sarankan juga para pembaca menjauhinya sama. Terutama dari terlibat dengan penganjurannya. Kerana semakin kita bertoleransi dengan cara dan corak yang diperkenalkan oleh orang bukan Islam, semakin dekatlah kita dengan mereka dan semakin terdoronglah kita untuk terjerlus ke lubang busuk kemurkaan ALLAH.

Untuk selamat dari ini semua, kita semua mestilah letakkan nilai taqwa di dalam diri. Jangan terlalu mudah dan sembrono berjalan di atas jalan kehidupan ini. Ubay bin Ka`ab radhiAllahu anhu pernah mengumpamakan taqwa seperti berjalan di suatu lapangan yang penuh duri. Sebagaimana kita berjalan di lapangan yang penuh duri dengan penuh berhati-hati, begitu jugalah kita berjalan di atas dunia ini. Mesti berhati-hati dan tidak terlalu selamba serta lalai tatkala berjalan di atasnya. Takut nanti tercucuk duri dosa.


Ummat ISLAM mesti ada jati diri yang kuat dan tersendiri. Masalah hari ini ialah ummat ISLAM tidak kenal Nabi saw dan jauh dari mengamalkan sunnah-sunnah Baginda. Sebab itulah kekosongan itu telah diisi oleh bermacam-macam corak dan warna yang bukan dari Nabi saw tapi dengan Syaitan yang berperanan utama di sebalik semuanya ini.

Sunnah-sunnah Nabi saw lah sepatutnya kita pegang sungguh-sungguh dan bersabar dengannya walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat mencabar di akhir zaman ini. Dengan berpegang kuat dengannya, insya'Allah kita akan terselamat dari terperosok masuk ke dalam lubang dosa. Malah kita tidak akan mendekati sehasta malah sejengkal pun dengan cara orang-orang berdosa disebabkan jiwa kita sudah penuh dengan sunnah Nabi saw dengan izin ALLAH snt.

ISLAM itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi dari ISLAM. Tidak perlu kita terikut-ikut dengan cara orang bukan ISLAM. Berlepas dirilah dari terlibat dengan cara selain cara Nabi sawm dan para sahabatnya.

ALLAHU A`LAM. Jika saya salah dan silap, tegurlah.


kredit: rakangroup

Tidak ada komentar:

Posting Komentar