Wanita, Jadilah Bunga Yang Indah.
Bunga yg kembang dan cantik itu jarang yg wangi.. begitulah juga orang yg cantik, kebanyakannya jarang berbudi. Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, “kamu ni cantiklah,” maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah dia. Ah.. siapa yg tidak seronok bila dikatakan cantik dan menawan? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.
Tetapi lain halnya bagi si mukmin yg merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yg cantik selalu ditimpa ‘perasan’ kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya.
Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari. Jika dia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya.
Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya.. Jadilah laksana nakhoda, Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yg cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.
Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Andai dia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yg indah. Wanita yg cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yg cantik yg derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya.
Cantik warnanya, harumnya tiada. Sebaliknya wanita yg kurang cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaan-Nya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang.
Ibarat gadis murahan yg mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yg berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yg kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yg tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.
Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia.. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yg bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhluk-Nya. Seharusnya diri yg dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya.
Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yg iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung pahala-pahala yg tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yg bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.
Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah (sikap negatif) akibat dari kecantikan diri yg dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu adalah pemberi-Nya.
Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yg berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yg gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?
Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita mendaki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan.
Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran.
Firman Allah SWT yg bermaksud : "Dan apa sahaja nikmat yg ada padamu dari Allah lah datangnya dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu meminta pertolongan." [Surah An-Nahl ayat 53]
Firman Allah S.W.T yg bermaksud : " Wanita - wanita yg buruk itu untuk lelaki yg buruk dan lelaki - lelaki yg buruk untuk wanita yg buruk, Sedangkan wanita - wanita yg baik untuk lelaki yg baik dan lelaki yg baik untuk wanita yang baik." [Surah An-Nur ayat 26]
Rasulullah S.A.W bersabda yg bermaksud : "Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa dibulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yg ia kehendaki." [Hadith Riwayat Al-Bazzar]
Tidak ada komentar:
Posting Komentar