Minggu, 29 Januari 2012

KETAKWAAN DAN SIFAT HATI-HATI



Setiap kelakuan dan sifat para sahabat r.a. patut kita miliki dan ikuti. Kenapa tidak? Sedangkan merekalah orang yang telah dipilih dan diambil oleh Allah ta'ala untuk bersahabat dengan RasulNya yang dikasehi lagi dicintai. Rasulullah saw bersabda,

"Aku dihantar pada zaman dan kurun bani Adam yang terbaik." (Shifa)

Oleh kerana itu, zaman tersebutlah yang terbaik dari setiap segi dan sebaik-baik manusia ialah mereka yang telah dipilih untuk bersahabat dengan Rasulullah saw.


Kepulangan Rasulullah saw dari satu pengurusan Jenazah dan Jemputan Seorang Wanita

Semasa Rasulullah saw pulang daripada satu pengurusan jenazah, utusan daripada seorang wanita telah datang untuk menjemput Baginda saw makan. Baginda saw telah pergi bersama para sahabatnya. Makanan telah dihidangkan dihadapan mereka. Para sahabat r.a. melihat Rasulullah saw menyuap sesuap makanan lalu mengunyah tetapi Baginda saw tidak dapat menelan makanan itu. Baginda saw bersabda,

"Nampaknya daging kambing ini telah dibeli tanpa keizinan tuannya."

Wanita itupun menerangkan,

"Ya Rasulullah, saya telah menyuruh seseorang ke pasar untuk membeli kambing tetapi dia tidak mendapati kambing di sana. Kebetulan jiran saya telah membeli seekor kambing. Saya telah menghantar orang kesana untuk membeli kambing itu tetapi dia tidak ada dirumah. Isterinya yang telah menjualkan kambing tersebut."

Rasulullah saw bersabda,

"Berikan makanan ini kepada tawanan."


Keterangan

Bukanlah suatu perkara yang menakjubkan apabila makanqn syubhat yang dikunyak oleh Rasulullah saw terlekat di halkum Baginda saw memandangkan kedudukan Baginda saw yang tinggi. Sedangkan peristiwa-peristiwa seumpama ini turut dialami oleh umat yang biasa pun.


Rasulullah SAW Berjaga Sepanjang Malam Kerana Risau Termakan Tamar Sedekah

Pada suatu hari Rasulullah saw tidak dapat tidur sepanjang malam dan asyik membolak-balikkan lambungnya sahaja. Salah seorang isteri Baginda saw telah bertanya,

"Ya Rasulullah, mengapa tuan tidak dapat tidur?"

Baginda saw menjawab,

"Ada sebiji tamar terletak di suatu tempat, saya telah mengambil tamar itu lalu memakannya supaya tidak membazir. Sekarang saya bimbang mungkin tamar itu ialah tamar sedekah."


Keterangan

Kemungkinan besar tamar itu ialah kepunyaan Rasulullah saw sendiri. Oleh kerana harta sedekah pun dihantar ke rumah Baginda saw maka kesangsian itu menyebabkan Rasulullah saw tidak dapat tidur sepanjang malam bimbang tamar itu ialah tamar sedekah. Jika demikian, berarti Rasulullah saw telah makan harta sedekah.

Inilah keadaan penghulu kita, hanya kerana sedikit kesangsian Baginda saw tidak dapat tidur, berbolak-balik gelisah sepanjang malam. Sementara itu lihatlah keadaan umat Baginda saw dengan perasaan bangga mereka melaungkan bahawa mereka ialah pengikut Nabi Muhammad saw sedangkan mereka masih terus mengambil rasuah, memakan riba, merompak dan memakan pelbagai jenis harta yang haram.

kredit: Fadhilat Amal



Tidak ada komentar:

Posting Komentar