Senin, 05 Maret 2012

ALLAH S.W.T MAHA MELIHAT


Allah S.W.T. bersifat Basyar ertinya bahawa Allah Maha Melihat apa sahaja yang ada di alam ini. Allah S.W.T dapat melihat segala gerak geri hamba-hamba-Nya. Meskipun hamba-hamba-Nya beramal dalam keadaan sembunyi-sembunyi, namun Allah S.W.T dapat melihatnya dengan jelas dan terang.

Penglihatan Allah S.W.T itu tidaklah sama dengan penglihatan yang ada pada makhluk ciptaan-Nya. Penglihatan pada makhluk berhajatkan kepada sesuatu alat yang dapat membantunya seperti mata, cahaya dan sebagainya. Namun Allah S.W.T. tidak berhajat kepada sesuatu bendapun dalam melihat segala sesuatu.


Allah S.W.T. melihat dengan sendirinya dan tidak memerlukan bantuan makhluk atau alam ini sama sekali.

Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud):
"Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." (Al Hujuraat, 18).

Segala aktiviti yang terjadi di alam ini, baik terang mahupun yang gelap, yang besar mahupun yang kecil, yang nyata, mahupun yang ghaib tidak akan luput daripada penglihatan Allah S.W.T.



Keyakinan dengan sifat Allah Maha Melihat ini menjadikan insan-insan yang beriman bertambah takut dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. kerana mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat amalan yang dikerjakannya.

Hati manusia menjadi damai dan tenteram dengan menanamkan keyakinan bahawa Allah S.W.T bersifat Maha Melihat. Jiwanya sentiasa terbimbing dengan jalan yang lurus dan ia sentiasa menjaga dirinya dari terjatuh kejurang kemaksiatan.



Mustahil bagi Allah S.W.T jika mempunyai sifat buta. Kerana sifat yang lemah itu hanya dimiliki oleh makhluk ciptaan-Nya.

Firman Allah S.W.T (yang bermaksud):
"Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu." (Al Mulk, 19). <

Tidak ada komentar:

Posting Komentar